ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.

Friday, February 26, 2010

Penutupan sehari

Assalammualaikum.

Adalah dimaklumkan bahawa Ibu Pejabat PERTIS Malaysia akan ditutup pada hari Selasa, 16 Rabi'ul Awwal 1431 Hijrah bersamaan 2 Mac 2010. Penutupan ini adalah untuk memberi peluang kepada semua kakitangan Ibu Pejabat untuk terlibat dengan program rakaman oleh Karyawan Bistari di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Justeru, kerjasama daripada semua ahli dan bukan ahli PERTIS amatlah dipohon untuk menyelesaikan segala urusan pada hari Isnin, 15 Rabi'ul Awwal 1431 Hijrah bersamaan 1 Mac 2010. Segala kesulitan amatlah dikesali serta didahului dengan ucapan ribuan kemaafan.

Sementara itu, para peserta yang terlibat dengan rakaman program Astro Oasis tersebut diminta berkumpul di Ibu Pejabat PERTIS selewat-lewatnya pada jam 8.30 pagi. Pengangkutan bas akan bertolak daripada pekarangan Kompleks Idaman (Pasaraya Ong Tai Kim), Gombak, KL pada jam 9.00 pagi. Semua peserta diminta berpakaian kemas dan sopan.

Tabung Khairat Kematian PERTIS

Assalammualaikum.

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PERTIS yang bersidang pada 5 Rabi'ul Awwal 1431 Hijrah bersamaan 19 Februari 2010 telah merancang dan memutuskan untuk meneruskan usaha penubuhan tabung tersebut buat kali ke-2. Justeru, kerjasama daripada semua ahli Persatuan amatlah dituntut untuk memberi sokongan dan dokongan padu terhadap kesinambungan usaha ini terutamanya kepada mereka yang menggesa penubuhan tabung ini secara bersungguh-sungguh di dalam Mesyuarat Agung Luarbiasa baru-baru ini.

Yuran masuk RM10.00 seorang dan yuran tahunan RM50.00 seorang. Bagi maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, para ahli PERTIS bolehlah berhubung dengan Encik Sahmar bin Saat, Pengerusi Biro Kebajukan dan Khidmat Komuniti di talian, 012-236 8347.

Yuran Ahli

Assalammualaikum.

Kerjasama dan jasa baik daripada semua ahli Persatuan amatlah dipohon untuk menjelaskan bayaran yuran keahlian bagi tahun 2010. Sebagai makluman, yuran keahlian bagi Ahli Biasa ialah RM6.00, Ahli Bersekutu RM3.00 dan Ahli Tanggungan RM1.00. Sementara itu, yuran bagi Ahli Seumur Hidup ialah RM50.00 dengan syarat sudah melunaskan segala bayaran yuran yang tertunggak dan menjelaskan yuran tahunan semasa. Tarikh akhir bagi pembayaran yuran ialah pada 17 Rejab 1431 Hijrah bersamaan 30 Jun 2010.
Bayaran yuran tahunan ini penting terutamanya bagi melayakkan penyertaan ke Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kehadiran peserta yang terhad.

Thursday, February 25, 2010

Takziah

Assalammualaikum.

Dengan penuh rasa terharu dan dukacita dimaklumkan bahawa Puan Saini binti Senawi, isteri kepada En. Sudin bin Mohd Yusod, mantan Pengerusi PERTIS Wilayah Pahang Darul Makmur telah kembali ke Rahmatullah pada jam 10.57 malam, Isnin, 1 Rabi'ul Awwal 1431 Hijrah bersama 15 Februari 2010 akibat pelbagai komplikasi penyakit di rumahnya di Temerloh, Pahang. Justeru itu, seluruh kepimpinan dan ahli PERTIS peringkat Pusat juga Wilayah ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Bersama-samalah kita panjatkan doa ke hadrat Illahi semoga roh Arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang solehin serta kepulangan sebagai tetamu Allah yang diredhai. Diharap keluarga En. Sudin tabah menerima ujian Allah. Marilah kita sedekahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada beliau.

Wednesday, February 10, 2010

Kakitangan Baru

Assalammualaikum.

Dah lama rasanye saya tidak mengemaskini blog Pertis Pusat. Saya akan mulakan dengan ucapan selamat datang kepada Encik Muhammad Adam Lee Abdullah yang telah memulakan tugas beliau sebagai Pembantu Braille pada 17 Safar 1431 Hijrah bersamaan 2 Februari 2010. Justeru, dengan kehadiran dan penempatan beliau diharap mampu meningkatkan lagi kredibiliti, akauntabiliti serta mengangkat martabat PERTIS, khususnya Biro Penerbitan ke tahap lebih cemerlang.