ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.

Saturday, August 21, 2010

Majlis Ceramah Anjuran Biro Muslimah, Kesenian Dan Kebudayaan PERTIS

Pada 21 Ogos 2010 bersamaan 11 Ramadhan 1431 (Sabtu), Biro Muslimah, Kesenian Dan Kebudayaan, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di bawah pengerusinya Pn. Nurfarhana Kanagi Abdullah telah menganjurkan satu majlis ceramah bertempat di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur. Majlis telah bermula sekitar jam 10.00 pagi.



Tema utama ceramah ialah Peranan Wanita Dalam Bulan Ramadhan. Walaupun ceramah ini anjuran biro yang berkaitan dengan wanita, tetapi golongan lelaki juga dialu-alukan untuk turut sama dalam ceramah ini. Maka itulah ramai juga golongan lelaki yang turut sama hadir dan mendengar ceramah yang disampaikan.

Antara AJK Pusat PERTIS lain yang turut hadir dalam majlis ceramah kali ini termasuklah Cikgu Zakaria bin Yahya yang juga Yang Di-Pertua PERTIS serta En. Shahmar Saad, selaku Pengerusi Biro Khidmat Komuniti PERTIS.



Sebelum sesi ceramah dimulakan, YDP PERTIS telah menyampaikan kata alu-aluannya. Antara lain beliau mengalu-alukan kehadiran penceramah jemputan serta seluruh hadirin.



Penceramah undangan kali ini ialah Dr. Sharifah Hayati binti Syed Ismail, seorang penceramah terkenal yang juga merupakan seorang pensyarah dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Dr. Sharifah Hayati pernah memberi ceramah dalam program anjuran PERTIS sebelum ini.



Dalam ceramahnya, Dr. Hayati banyak menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan bulan Ramadhan. Antara lain, beliau memaklumkan betapa barakahnya majlis ilmu yang diadakan dan di dalam bulan Ramadhan pula. Beliau turut menerangkan bahawa para malaikat memayungi orang yang hadir ke majlis ilmu dari mula orang tersebut meninggalkan rumah hinggalah dia kembali semula ke rumahnya.

Selain itu, Dr. Sharifah Hayati juga turut mengingatkan para hadirin supaya tidak membazir dalam bulan Ramadhan. Para hadirin juga turut disaran supaya mengambil peluang untuk melipatgandakan ibadat kepada Allah bersempena dengan bulan Ramadhan. Beliau juga turut menyarankan supaya kita semua sentiasa ingat kepada Allah supaya Allah pula akan sentiasa ingat kepada kita. Ini selaras dengan mafhum sepotong ayat Alquran yang antara lain menyatakan: “Maka ingatilah Aku (Allah), nescaya Aku )Allah) akan mengingati kamu, dan bersyukurlah kepada Aku dan janganlah kamu sekalian kufur”.



Dr. Sharifah Hayati turut menjawab soalan yang dikemukakan ketika sesi soal jawab. Walau bagaimanapun, oleh kerana kesuntukan masa, beliau hanya dapat menjawab satu soalan sahaja yang dikemukakan Pengerusi Biro Muslimah, Kesenian Dan Kebudayaan PERTIS sendiri, Pn. Farhana.

Cara Dr. Sharifah Hayati menyampaikan ceramahnya dengan bersahaja dan diselang-seli dengan unsur-unsur kecindan telah berjaya menarik perhatian hadirin.



Pihak PERTIS mengucapkan jazakillah kepada Dr. Sharifah Hayati di atas kesudiannya untuk hadir dan menyampaikan ilmu kepada ahli PERTIS serta sekalian hadirin. Mudah-mudahan apa yang telah beliau sampaikan akan memberi manfaat kepada para hadirin.

Monday, August 16, 2010

Pengumuman 16 Ogos 2010

Telemaklumat PERTIS (16 Ogos 2010)

Inilah talian maklumat, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), membawakan pengumuman-pengumuman untuk minggu yang bermula pada 16 Ogos 2010, bersamaan 6 Ramadhan 1431.

1. PROGRAM TAZKIRAH ANJURAN BIRO PEMBANGUNAN MUSLIMAH, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN PERTIS

Program tersebut akan diadakan pada hari Sabtu, 11 Ramadhan 1431 Hijrah bersamaan 21 Ogos 2010, bermula jam 9.00 pagi bertempat di Dewan Utama MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Penceramah, Yang Berbahagia Dr. Sharifah Hayati binti Said Ismail. Kehadiran para muslimah kalangan ahli dan bukan ahli PERTIS amatlah dialu-alukan. Penyertaan turut dibuka kepada peserta kalangan lelaki.

2. PROGRAM IHYA’ RAMADHAN AL-MUBARAK 1431 HIJRAH ANJURAN PERTIS Pusat

Aktiviti tersebut akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad, 25 & 26 Ramadhan 1431 Hijrah bersamaan 4 & 5 September 2010 bertempat di premis Kompleks MAB, Brickfields. Majlis akan bermula pada jam 3.00 petang, 25 Ramadhan 1431 Hijrah dan berakhir pada jam 8.00 pagi, 26 Ramadhan 1431 Hijrah. Pengisian program akan dimuatkan dengan majlis berbuka puasa, sahur, pelbagai slot ceramah / kuliah subuh dan qiyamulail. Antara barisan penceramah yang sudah mengesahkan kehadiran ialah Yang Berbahagia Dato’ Haji Kamaruddin bin Haji Zakaria, mantan Imam Besar Masjid Negara Kuala Lumpur, Al-Fadhil Ustaz Mohd Khairul Anuar bin Osman dari Jabatan Pengajian Islam dan Moral, Institut Perguruan Ilmu Khas dan Al-Fadhil Ustaz Imran Nasuhah dari Masjid Subang Jaya (slot Qiyamu Lail). Bilangan peserta, 200 orang. Sistem tempat duduk berdasarkan meja akan dilaksanakan demi mengelakkan kehadiran para peserta yang tidak berdaftar dan kecelaruan majlis. Bagi maksud pendaftaran atau pertanyaan, sila berhubung dengan Pengerusi Biro di talian, 019-255 1232. Pendaftaran melalui perkhidmatan SMS lebih dialu-alukan.

3. PROGRAM HARI RAYA ANJURAN JAWI DAN PERTIS

Majlis Semarak Hari Raya Aidil Fitri 1431 Hijrah Bagi Orang Kurang Upaya tajaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dengan Biro Tugas Khas selaku penyelaras aktiviti akan diadakan pada hari Ahad, 17 Syawwal 1431 Hijrah bersamaan 26 September 2010 bertempat di pekarangan Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur. PERTIS diperuntukkan 300 tempat. Kehadiran semua ahli dan sanak famili masing-masing amatlah dialu-alukan. Dalam konteks ini, Biro memohon kerjasama daripada para ahli Persatuan untuk mendaftarkan anak masing-masing bagi maksud pemberian duit raya bersempena majlis berkenaan – hanya untuk anak-anak sahaja. Syarat umur, 17 tahun ke bawah. Sila berikan nama penuh anak-anak anda. Bagi anak-anak yang sudah mempunyai Kad Pengenalan, harap berikan sekali No. K/P. Bagi maksud pendaftaran sila berhubung dengan En. Abu Hasan Ashari, Pengerusi Biro di talian, 019-255 1232 atau Pn. Norizan binti Mohamed Yusoff di talian, 013-364 0636. Pendaftaran melalui perkhidmatan SMS adalah lebih dialu-alukan. Sayugia diingatkan bahawa maklumat anak-anak yang tidak lengkap tidak akan dilayan atau pendaftaran melalui lain-lain saluran tidak akan diproses demi mengelakkan kecelaruan pengurusan. Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 21 Ramadhan 1431 Hijrah bersamaan 31 Ogos 2010 justeru maklumat berkenaan perlu dikemukakan kepada pihak JAWI. Maklumat dan butiran lanjut aktiviti akan diwar-warkan dari masa ke semasa.

4. BERITA DARIPADA IBU PEJABAT PERTIS

4.1. Adalah dimaklumkan bahawa Ibu Pejabat PERTIS akan dibuka separuh hari iaitu bermula jam 2.00 petang pada hari Isnin, 13 Ramadhan 1431 Hijrah bersamaan 23 Ogos 2010. Ia adalah bagi memberikan ruang dan peluang kepada para Pembantu Tadbir Hal Ehwal Ibu Pejabat PERTIS menghadiri majlis rasmi di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

4.2. Kakitangan Sambilan Untuk Ibu Pejabat PERTIS

Sukacita dimaklumkan bahawa, PERTIS memerlukan khidmat kakitangan berstatus sambilan dengan kadar segera untuk ditempatkan di Biro Penerbitan Dan ICT PERTIS. Antara tugas utama kakitangan ini ialah untuk membantu biro ini dalam urusan produksi bahan bercetak Braille. Antara kriteria yang diutamakan ialah, boleh melakukan kerja-kerja penjilidan buku Braille dan mempunyai pengetahuan asas mengenai komputer. Kepada yang berminat, permohonan bertulis boleh diajukan kepada Setiausaha Agung, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di alamat, No. 32A, Tingkat 1, Medan Idaman, Jalan Jernai 6/21D, 53100 Gombak, Kuala Lumpur.

5. IKLAN MINGGU INI

5.1. Anda masih tercari-cari penapis air untuk kegunaan rumah anda? Anda masih tercari-cari formula bekalan air sihat dan selamat? Ya, dapatkan Bio Energy Life Water System. Peralatan dijamin selamat, mesra alam dan mesra pelanggan. Harga seunit RM800.00, tawaran harga kilang. Jimat dan menguntungkan justeru pembelian produk serupa yang menagih ribuan ringgit Malaysia. Bagi maksud tempahan dan pertanyaan, hubungi Ustaz Mohammad Zaki bin Mohamed Yusoff di talian, 019-277 3002. Bio Energy Life Water System – Peneraju Keluarga Sihat; Jimat dan Berbaloi-baloi!!

5.2. Iklan Kuih DAN BISKUT Raya

Dapatkan pelbagai jenis biskut dan kuih-muih raya sebagai hidanmgan tetamu yang datang berkunjung. Antara jenis-jenis biskut yang ditawarkan ialah Almond London, Biskut Kapal, Biskut Kopi, Kuih Samprit dan sebagainya. Hubungi pembekal dan pengedar berkaitan:-

(1) Cik Siti Huraizah binti Roslan di talian, 012-958 4197. Beliau menawarkan tawaran harga istimewa, berpatutan lagi “special” iaitu RM28.00 satu baling dengan kuantiti 100 biji kuih.

(2) En. Mat Rafi bin Mohamad Zali di talian, 03-4022 0046 iaitu di antara jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang. Cepat! Stok terhad.

Nota: pengumuman dibawa dengan ehsan dan kerjasama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)

6. MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI 2010

Pertubuhan Orang Kurang Upaya Penglihatan Negeri Perak Darul Ridzuan akan menganjurkan majlis tersebut di atas pada hari Sabtu dan Ahad, 2 & 3 Oktober 2010 bertempat di Institut Latihan Belia, Tronoh, Perak Darul Ridzuan. Bas akan bertolak pada hari Sabtu, 2 Oktober 2010, jam 9.00 pagi daripada pekarangan Kompleks MAB, Brickfields. Yuran penyertaan – orang dewasa, RM30.00 seorang dan anak-anak di bawah usia 13 tahun, RM20.00 seorang. Bagi maksud pendaftaran atau maklumat lanjut aktiviti, sila berhubung dengan En. Mohd Nizar di talian, 012-525 1190 atau En. Mohammad Sabri di talian, 013-341 9093. Pendaftaran dianggap sah selepas yuran penyertaan dilunaskan. Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 7 September 2010.

Nota: pengumuman dibawa dengan ehsan dan kerjasama daripada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)

7. JADUAL TAZKIRAH ANJURAN JEMAAH SURAU MAB SEPANJANG BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 1431 HIJRAH

17 Ogos 2010 – ustaz Zulkifli

18 Ogos 2010 – Ustaz Ahmad Dasuki

19 Ogos 2010 – Ustaz Ann Wan Seng

21 Ogos 2010 – Ustaz Ridzuan

24 Ogos 2010 – Ustaz Hanif

26 Ogos 2010 – Ustaz Yusri

28 Ogos 2010 – Ustaz Dr. Azhar Yaacob

30 Ogos 2010 – Ustaz Muda

31 Ogos 2010 – Ustaz Kamal Ashari

1 September 2010 – Ustaz Shahrum

2 September 2010 – Ustaz Adlin

14 September 2010 – Ustaz Fazlul

7.2. Program Qiyamulail:-

22 Ogos 2010 – dipimpin oleh Ustaz Nassim

29 Ogos 2010 – Ustaz Shazlee


Diselaraskan oleh,


(Zakaria bin Yahya)
Yang Dipertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)

Thursday, August 5, 2010

Pengumuman 02 Ogos 2010

Terlibih dahulu, kami ingin meminta maaf kerana pengumuman untuk minggu ini lewat dimasukkan ke laman sesawang ini.

Inilah talian maklumat, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), membawakan pengumuman-pengumuman untuk minggu yang bermula pada 2 Ogos 2010, bersamaan 21 Shaaban 1431.

1. MAKLUMAT TAMBAHAN MAJLIS DI AMBANG RAMADHAN AL-MUBARAK 1431 HIJRAH

Biro Kebajikan, Keluarga dan Khidmat Komuniti PERTIS akan menganjurkan program tersebut di atas pada hari Khamis, 24 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan 5 Ogos 2010, bermula jam 6.00 petang bertempat di Surau MAB. Selain bacaan Yasin dan tahlil, pengisian majlis akan turut dimuatkan dengan tazkirah bersempena ketibaan bulan Ramadhan Almubarak yang kian di ambang mayapada. Penceramah undangan, Al-Fadhil Ustaz Abdullah bin Ashari, Pegawai Waran 1, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Kementerian Pertahanan Malaysia. Penganjuran majlis ditaja oleh beberapa individu tertentu. Biro masih mengalu-ngalukan sumbangan dan tajaan daripada kalangan ahli atau bukan ahli PERTIS yang mempunyai hajat atau niat tertentu. Bagi maksud sumbangan atau pertanyaan, sila berhubung dengan En. Sahmar bin Saat, Pengerusi Biro di talian, 013-6968 618. Kehadiran semua amatlah dialu-alukan.

2. Saudara Beseri Ahmad Dimasukkan Ke Hospital

2.1 Untuk maklumat bersama, Saudara Beseri bin Ahmad yang juga merupakan salah seorang ahli Persatuan ini telah dimasukkan ke Hospital pada malam Ahad baru-baru ini. Kepada yang berkemampuan dan berkesempatan, anda dipersilakan untuk menziarahi beliau, sekurang-kurangnya untuk memberikan dorongan dan semangat kepada beliau. Maklumat terkini yang diperolehi ialah, Saudara Beseri kini ditempatkan di Wad Perubatan 2, Tingkat 3, Katil 6, sebelah wad bersalin, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

3. Mesyuarat AJK PERTIS Pusat Bilangan 3/2010.

3.1 Adalah dengan ini dimaklumkan kepada semua AJK Pusat PERTIS sesi 2010-2011, sebagaimana yang telah dimaklumkan, mesyuarat AJK Pusat PERTIS akan diadakan pada 7 Ogos 2010 (Sabtu), dan mesyuarat akan bermula pada jam 9.00 pagi dan bukannya jam 10.00 pagi. Harap ambil maklum.

4. IKLAN MINGGU INI

4.1. Anda masih tercari-cari penapis air untuk kegunaan rumah anda? Anda masih tercari-cari formula bekalan air sihat dan selamat? Ya, dapatkan Bio Energy Life Water System. Peralatan dijamin selamat, mesra alam dan mesra pelanggan. Harga seunit RM800.00, tawaran harga kilang. Jimat dan menguntungkan justeru pembelian produk serupa yang menagih ribuan ringgit Malaysia. Bagi maksud tempahan dan pertanyaan, hubungi Ustaz Mohammad Zaki bin Mohamed Yusoff di talian, 019-277 3002. Bio Energy Life Water System – Peneraju Keluarga Sihat; Jimat dan Berbaloi-baloi!!

4.2. Iklan Kuih Raya

Dapatkan pelbagai jenis biskut dan kuih-muih raya sebagai hidangan tetamu yang datang berkunjung. Hubungi Cik Siti Huraizah di talian, 012-958 4197 atau En. Mat Rafi di talian, 03-4022 0046. Harga serendah RM28.00 bagi 1 balang 100 keping biskut. Bikskut adunan tradisional dan moden. Tempahan awal akan diutamakan. Cepat! Stok terhad.

** pengumuman iklan di atas dibawa dengan ehsan dan kerjasama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)


Diselaraskan oleh


(Zakaria bin Yahya)
Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)