ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.
Showing posts with label Program/Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Program/Aktiviti. Show all posts

Monday, July 12, 2010

Program Dakwah Bersempena Isra' Mikraj 1431 Hijrah



Pada 28 Rejab 1431 Hijrah, bersamaan 11 Julai 2010 bersamaan hari Ahad yang lalu, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) menerusi Biro Dakwah Dan Pendidikannnya telah menganjurkan program dan aktiviti dakwah bersempena dengan sambutan Isra’ Mikraj yang jatuh sehari sebelumnya. Program berkenaan telah berlangsung di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur. Program berkenaan telah bermula seawal jam 9.45 pagi dan telah berakhir sekitar jam 5.30 petang. Pelbagai acara telah berlangsung bersempena dengan program berkenaan.



Untuk pengetahuan bersama, program dan aktiviti kali ini telah ditaja sepenuhnya oleh May Bank Islamic. Di sini, pihak PERTIS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak May Bank Islamic di atas kesudian mereka menaja program kali ini. Mudah-mudahan Allah akan menganugerahkan balasan yang sebaik-baiknya kepada pihak berkenaan.



Di sebelah pagi, acara seperti kuiz, mewarna untuk kanak-kanak berusia 9 tahun kebawah, hafazan untuk kanak-kanak yang berusia 10 hingga 12 tahun telah berlangsung.







Untuk acara kuiz, sebanyak 5 kumpulan telah mengambil bahagian. Kumpulan-kumpulan berkenaan ialah GTC 1, GTC 2, PERTIS 1, PERTIS Saudara Kita serta pasukan dari Anak-anak Perak. Setiap kumpulan pula mengandungi 3 peserta. Jurukuiz kali ini ialah Cikgu Wan Mohd Suhaimi dari SKPK Seremban.





Sekitar jam 12.00 tengah hari pula, ceramah mengenai haji pula telah diadakan. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Razali dari Ibu Pejabat Tabung Haji Jalan Tun Razak. Beliau telah berkongsi pengalamannya yang luas mengenai ibadah haji.





Selain itu, Ustaz Razali juga tidak keberatan untuk menjawab pelbagai soalan yang telah dikemukakan oleh para hadirin. Berdasarkan soalan-soalan yang telah dikemukakan, minat para hadirin, terutamanya ahli PERTIS terhadap ibadah haji memang tinggi.









Selepas makan tengah hari dan solat zohor pula, diadakan pula ceramah mengenai Isra’ Mikraj yang telah disampaikan oleh Ustaz Yusri Arifin. Ceramah beliau memang menarik dan berguna. Para hadirin juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Yusri.



Setelah tamat ceramah, majlis penutupan rasmi pula telah dilangsungkan. Kali ini, Cikgu Zakaria bin Yahya, selaku Naib Yang Di-Pertua PERTIS telah menyempurnakan majlis penutupan rasmi. Dalam ucapannya, Cikgu Zakaria mengucapkan jutaan terima kasih kepada para hadirin yang telah memberikan sokongan yang cukup baik kepada program kali ini. Katanya lagi, sokongan dan dokongan para ahli dan para hadirin merupakan semangat kepada para pimpinan PERTIS untuk menganjurkan aktiviti yang lebih bermanfaat lagi pada masa-masa yang akan datang.













Setelah itu, berlangsung pula acara penyampaian pelbagai hadiah dan cendera hati kepada para pemenang, para hakim dan juga kepada para petugas yang telah menjayakan majlis pada hari ini.







Di sini, seluruh saf kepimpinan PERTIS ingin mengucapkan jazakumullah khairan kathiran kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang cukup baik ke arah menjayakan program di atas.



Terima kasih yang tidak terhingga ditujukan kepada para sukarelawan khususnya daripada Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang sentiasa setiasa dan tidak jemu dalam menghulurkann khidmat sukarela. Selain itu, ucapan terima kasih yang juga ditujukan kepada seluruh AJK serta kakitangan PERTIS yang turut sama-sama bekerja keras untuk memastikan kelancaran majlis berkenaan. Terima kasih dan penghargaan juga ditujukan kepada para hadirin yang telah datang beramai-ramai untuk memeriahkan majlis berkenaan. Sesungguhnya kehadiran anda semua yang melebihi 150 orang cukup membuktikan sokongan dan dokongan padu kalian terhadap persatuan yang sama-sama kita sayangi ini. Besarlah harapan kami, daripada saf kepimpinan PERTIS, pada masa-masa yang akan datang, lebih ramai lagi ahli bersekutu (mereka yang berpenglihatan) akan menyertai program yang kami anjurkan.

Friday, June 4, 2010

Sidang Media

Pada 2 Jun 2010 (Rabu), satu sidang Media telah diadakan bersempena dengan majlis Makan Malam "Berkat" Bersama PERTIS. Sidang media berkenaan telah diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Turut serta dalam sidang media berkenaan ialah, Persatuan Orang-orang Cacat penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWMKM). Berikut ialah teks penuh siaran media tersebut:


SIARAN MEDIA
MAJLIS MAKAN MALAM “BERKAT BERSAMA PERTIS”
2 JUN 2010
Bilik Banyan, Pusat Konvensyen Sime Darby
Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan dinaungi oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan disokong oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) akan mengadakan majlis nakan malam yang berkonsepkan konsert amal bagi tujuan kutipan dana (Fund Raising). Tema persembahan yang akan ditengahkan pada majlis ini adalah bersifat kerohanian. Majlis yang penuh keberkatan ini akan dirasmikan oleh YB. Senator Dato’ Sri Sharizat Abdul Jalil dan dijangkakan akan dilaksanakan pada Ahad bersamaan 18 julai 8.00 malam hingga 11 malam bertempat di Dewan Utama Pusat Konvensyen Sime Darby. Antara artis-artis tersohor tanah air yang telah mengesahkan diri untuk membuat persembahan pada majlis ini ialah Ramli Sarip, Amy Search, Mawi, Datin Paduka Julie Sudiro, Radhi OAG dan Bienda. Selain itu majlis ini akan menampilkan persembahan istimewa daripada ahli-ahli PERTIS.
Hasil daripada jualan meja dan sumbangan yang diperolehi di sepanjang penganjuran majlis ini akan memberi manfaat kepada 1,200 OKU penglihatan yang berdaftar dengan PERTIS sebagai ahli biasa. Dana yang diperolehi akan digunakan dalam menghasilkan al-Quran dalam bentuk tulisan Braille yang mencecah kos sebanyak RM200 perset. Al-Quran Braille yang dihasilkan akan diagihkan kepada setiap ahli PERTIS bagi mencapai misi PERTIS iaitu ‘1 OKU penglihatan, 1 Al-Quran Braille’. Pada masa yang sama, PERTIS amat memerlukan sumber kewangan yang mencukupi dalam menanggung kos pentadbiran, amolumen dan sewa premis yang berjumlah hampir RM10,00 sebulan. PERTIS juga berhasrat untuk membeli premis tetap persatuan di samping untuk mengadakan pusat latihan hafazan Al-Quran untuk OKU penglihatan.
Semenjak didaftarkan pada tahun 1996 dengan nombor pendaftaran 2388, PERTIS memberi tumpuan dalam menjaga kebahikan dan memperkasakan ahlinya agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih bermakna berlandaskan syiar Islam. Untuk itu, PERTIS sentiasa mengadakan program berorientasikan keislaman seperti ceramah agama/isu semasa, kelas fardhu ain, program bacaan Yasin, kelas al-Quran, program kesenian dan lain-lain. PERTIS juga memberi tumpuan kepada OKU penglihatan yang baru memeluk Islam dengan mengadakan program khas dan turut menjaga kebajikan mereka. PERTIS turut berperanan dalam menyediakan bahan bacaan Islam dalam tulisan braille seperti surah yasin, buku doa dan lain-lain untuk manfaat ahli PERTIS khasnya dan OKU penglihatan lain amnya. Justeru, dana yang diperolehi dengan penganjuran majlis ini diharap dapat menampung segala kos untuk merealisasikan segala usaha yang murni ini secara berterusan.
Majlis ini akan diadakan dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selaku penaung majlis. Pihak KARYAWAN pula akan membantu menjayakan majlis ini dari segi pengurusan pentas dan persembahan artis serta dari sudut promosi dan pemasaran. PERTIS mengharapkan agar majlis ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai termasuk pihak korporat. PERTIS juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis ini baik sebagai penaja mahupun pembeli terutama pihak KPWKM dan KARYAWAN yang menjadi tulang belakang dalam usaha untuk merealisasikan majlis ini dengan jayanya.
Mana-mana pihak yang berminat untuk membuat tempahan atau penajaan meja bolehlah mengubungi Pn Bariah di talian 019-3644468 atau layari laman web www.karyawan.com.my untuk memuat turun borang tempahan. Segala penajaan atau sumbangan ikhlas juga boleh disalurkan kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam no 14014010086992 (Bank Islam). Untuk makluman, meja-meja boleh dibeli atau ditaja dengan harga RM10,000 (Platinum), RM5,000 (Berlian), RM3,000 (Emas) dan RM1,500(Perak) dengan pakej 10 orang bagi satu meja.

Saturday, January 23, 2010

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431 Hijrah

Pada 16 Januari 2010 yg lalu, PERTIS telah menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431 Hijrah peringkat PERTIS Pusat. Ia telah diadakan di Dewan Utama MAB, yg bertempat di Kompleks MAB, Jln Tebing, Off Jln Tun Sambathan 4, Brickfields. Ceramah pada hari itu tlh disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Wan Mohamad Nasir bin Wan Abd Wahab dan tajuknya ialah "HIJRATUR RASUL, PERALIHAN MEMIMPIN KEBENARAN". Selain berkisar pada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W., isu yg turut dikupas ialah fahaman Syi'ah, Wahabi, Tabligh, Al-Arqam dan pelbagai ideologi lagi dengan maksud penyaluran informasi serta ilmiah. Sambutan yang diterima amatlah menggalakkan. Akhir kata, saya akhiri dengan foto yang diambil semasa program berjalan.


Sebahagian dr kaum wanita yang hadir

Sebahagian dr kaum lelaki yang hadir

Kumpulan Berzanji Anak-Anak Perak
Persembahan berzanji dari Kumpulan Anak-Anak Perak

Di dalam dewan utama MAB

Al-Fadhil Ustaz Wan Mohamad Nasir b. Wan Abd Wahab dan En. Abu Hasan Ashari b. Razak, Setiausaha Agong PERTIS