ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.

Saturday, August 21, 2010

Majlis Ceramah Anjuran Biro Muslimah, Kesenian Dan Kebudayaan PERTIS

Pada 21 Ogos 2010 bersamaan 11 Ramadhan 1431 (Sabtu), Biro Muslimah, Kesenian Dan Kebudayaan, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di bawah pengerusinya Pn. Nurfarhana Kanagi Abdullah telah menganjurkan satu majlis ceramah bertempat di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur. Majlis telah bermula sekitar jam 10.00 pagi.



Tema utama ceramah ialah Peranan Wanita Dalam Bulan Ramadhan. Walaupun ceramah ini anjuran biro yang berkaitan dengan wanita, tetapi golongan lelaki juga dialu-alukan untuk turut sama dalam ceramah ini. Maka itulah ramai juga golongan lelaki yang turut sama hadir dan mendengar ceramah yang disampaikan.

Antara AJK Pusat PERTIS lain yang turut hadir dalam majlis ceramah kali ini termasuklah Cikgu Zakaria bin Yahya yang juga Yang Di-Pertua PERTIS serta En. Shahmar Saad, selaku Pengerusi Biro Khidmat Komuniti PERTIS.



Sebelum sesi ceramah dimulakan, YDP PERTIS telah menyampaikan kata alu-aluannya. Antara lain beliau mengalu-alukan kehadiran penceramah jemputan serta seluruh hadirin.



Penceramah undangan kali ini ialah Dr. Sharifah Hayati binti Syed Ismail, seorang penceramah terkenal yang juga merupakan seorang pensyarah dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Dr. Sharifah Hayati pernah memberi ceramah dalam program anjuran PERTIS sebelum ini.



Dalam ceramahnya, Dr. Hayati banyak menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan bulan Ramadhan. Antara lain, beliau memaklumkan betapa barakahnya majlis ilmu yang diadakan dan di dalam bulan Ramadhan pula. Beliau turut menerangkan bahawa para malaikat memayungi orang yang hadir ke majlis ilmu dari mula orang tersebut meninggalkan rumah hinggalah dia kembali semula ke rumahnya.

Selain itu, Dr. Sharifah Hayati juga turut mengingatkan para hadirin supaya tidak membazir dalam bulan Ramadhan. Para hadirin juga turut disaran supaya mengambil peluang untuk melipatgandakan ibadat kepada Allah bersempena dengan bulan Ramadhan. Beliau juga turut menyarankan supaya kita semua sentiasa ingat kepada Allah supaya Allah pula akan sentiasa ingat kepada kita. Ini selaras dengan mafhum sepotong ayat Alquran yang antara lain menyatakan: “Maka ingatilah Aku (Allah), nescaya Aku )Allah) akan mengingati kamu, dan bersyukurlah kepada Aku dan janganlah kamu sekalian kufur”.



Dr. Sharifah Hayati turut menjawab soalan yang dikemukakan ketika sesi soal jawab. Walau bagaimanapun, oleh kerana kesuntukan masa, beliau hanya dapat menjawab satu soalan sahaja yang dikemukakan Pengerusi Biro Muslimah, Kesenian Dan Kebudayaan PERTIS sendiri, Pn. Farhana.

Cara Dr. Sharifah Hayati menyampaikan ceramahnya dengan bersahaja dan diselang-seli dengan unsur-unsur kecindan telah berjaya menarik perhatian hadirin.



Pihak PERTIS mengucapkan jazakillah kepada Dr. Sharifah Hayati di atas kesudiannya untuk hadir dan menyampaikan ilmu kepada ahli PERTIS serta sekalian hadirin. Mudah-mudahan apa yang telah beliau sampaikan akan memberi manfaat kepada para hadirin.

1 comment:

  1. (5) Kemampuan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan berkemahiran tulisan jawi biasa adalah bonus kepada permohonan anda.
    -
    Saya suka tolong!

    ReplyDelete