ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.

Friday, June 4, 2010

Sidang Media

Pada 2 Jun 2010 (Rabu), satu sidang Media telah diadakan bersempena dengan majlis Makan Malam "Berkat" Bersama PERTIS. Sidang media berkenaan telah diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Turut serta dalam sidang media berkenaan ialah, Persatuan Orang-orang Cacat penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWMKM). Berikut ialah teks penuh siaran media tersebut:


SIARAN MEDIA
MAJLIS MAKAN MALAM “BERKAT BERSAMA PERTIS”
2 JUN 2010
Bilik Banyan, Pusat Konvensyen Sime Darby
Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan dinaungi oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan disokong oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) akan mengadakan majlis nakan malam yang berkonsepkan konsert amal bagi tujuan kutipan dana (Fund Raising). Tema persembahan yang akan ditengahkan pada majlis ini adalah bersifat kerohanian. Majlis yang penuh keberkatan ini akan dirasmikan oleh YB. Senator Dato’ Sri Sharizat Abdul Jalil dan dijangkakan akan dilaksanakan pada Ahad bersamaan 18 julai 8.00 malam hingga 11 malam bertempat di Dewan Utama Pusat Konvensyen Sime Darby. Antara artis-artis tersohor tanah air yang telah mengesahkan diri untuk membuat persembahan pada majlis ini ialah Ramli Sarip, Amy Search, Mawi, Datin Paduka Julie Sudiro, Radhi OAG dan Bienda. Selain itu majlis ini akan menampilkan persembahan istimewa daripada ahli-ahli PERTIS.
Hasil daripada jualan meja dan sumbangan yang diperolehi di sepanjang penganjuran majlis ini akan memberi manfaat kepada 1,200 OKU penglihatan yang berdaftar dengan PERTIS sebagai ahli biasa. Dana yang diperolehi akan digunakan dalam menghasilkan al-Quran dalam bentuk tulisan Braille yang mencecah kos sebanyak RM200 perset. Al-Quran Braille yang dihasilkan akan diagihkan kepada setiap ahli PERTIS bagi mencapai misi PERTIS iaitu ‘1 OKU penglihatan, 1 Al-Quran Braille’. Pada masa yang sama, PERTIS amat memerlukan sumber kewangan yang mencukupi dalam menanggung kos pentadbiran, amolumen dan sewa premis yang berjumlah hampir RM10,00 sebulan. PERTIS juga berhasrat untuk membeli premis tetap persatuan di samping untuk mengadakan pusat latihan hafazan Al-Quran untuk OKU penglihatan.
Semenjak didaftarkan pada tahun 1996 dengan nombor pendaftaran 2388, PERTIS memberi tumpuan dalam menjaga kebahikan dan memperkasakan ahlinya agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih bermakna berlandaskan syiar Islam. Untuk itu, PERTIS sentiasa mengadakan program berorientasikan keislaman seperti ceramah agama/isu semasa, kelas fardhu ain, program bacaan Yasin, kelas al-Quran, program kesenian dan lain-lain. PERTIS juga memberi tumpuan kepada OKU penglihatan yang baru memeluk Islam dengan mengadakan program khas dan turut menjaga kebajikan mereka. PERTIS turut berperanan dalam menyediakan bahan bacaan Islam dalam tulisan braille seperti surah yasin, buku doa dan lain-lain untuk manfaat ahli PERTIS khasnya dan OKU penglihatan lain amnya. Justeru, dana yang diperolehi dengan penganjuran majlis ini diharap dapat menampung segala kos untuk merealisasikan segala usaha yang murni ini secara berterusan.
Majlis ini akan diadakan dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selaku penaung majlis. Pihak KARYAWAN pula akan membantu menjayakan majlis ini dari segi pengurusan pentas dan persembahan artis serta dari sudut promosi dan pemasaran. PERTIS mengharapkan agar majlis ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai termasuk pihak korporat. PERTIS juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis ini baik sebagai penaja mahupun pembeli terutama pihak KPWKM dan KARYAWAN yang menjadi tulang belakang dalam usaha untuk merealisasikan majlis ini dengan jayanya.
Mana-mana pihak yang berminat untuk membuat tempahan atau penajaan meja bolehlah mengubungi Pn Bariah di talian 019-3644468 atau layari laman web www.karyawan.com.my untuk memuat turun borang tempahan. Segala penajaan atau sumbangan ikhlas juga boleh disalurkan kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam no 14014010086992 (Bank Islam). Untuk makluman, meja-meja boleh dibeli atau ditaja dengan harga RM10,000 (Platinum), RM5,000 (Berlian), RM3,000 (Emas) dan RM1,500(Perak) dengan pakej 10 orang bagi satu meja.

No comments:

Post a Comment