ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.

Tuesday, July 13, 2010

Pengumuman 12 Julai 2010

Sekadar mengingatkan di antara sesama kita, iaitu, pada minggu ini kita semua akan melangkah ke bulan Syaaban. Ini bermakna bulan Ramadhan yang penuh berkat itu kian menghampiri kita. Jika diizinkan Allah, kita akan dapat bertemu sekali dengan bulan Ramadhan Almubarak. Marilah sama-sama kita terus membuat persediaan untuk menyambut bulan berkenaan.

Berikut adalah pengumuman untuk minggu yang b ermula pada 12 Julai 2010, bersamaan 29 Rejab 1431 Hijrah.

1. MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN ORANG CACAT PENGLIHATAN ISLAM MALAYSIA (PERTIS) KALI KELIMABELAS

1.1. Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS Kali Kelimabelas akan diadakan pada 11 dan 12 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan 23 dan 24 Julai 2010 (Jumaat dan Sabtu) bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Seksyen 12, Sungai Merab Luar, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

1.2. Penyertaan Cuma dibuka kepada para ahli Persatuan sahaja dengan syarat telah menyelesaikan segala bayaran yuran tertunggak (jika ada), yuran tahunan semasa dan yuran penyertaan MAT 15 (sepertimana syarat serupa yang ditetapkan oleh mana-mana NGO lain). Manakala bagi para pengiring, Cuma para peserta yang berumur 13 tahun ke atas sahaja yang dipertimbangkan kehadirannya. Untuk rujukan, syarat ini ditetapkan oleh pihak ILIM. Ambil maklum bahawa tarikh akhir penjelasan yuran tahunan Persatuan telahpun berakhir pada 17 Rejab 1431 Hijrah bersamaan 30 Jun 2010. Dalam hal ini, Cuma ahli-ahli yang telah menyelesaikan segala yuran berkaitan sahaja akan dipertimbangkan kehadiran ke MAT 15. Sebagai rujukan, yuran penyertaan MAT 15 bagi ahli Persatuan ialah RM5.00 seorang dan bukan ahli RM10.00 seorang. Suka juga dinyatakan bahawa caj terlibat merupakan yuran penyertaan ke Mesyuarat Agung Tahunan dan tiada kaitannya dengan kos pengangkutan. Ambil maklum juga bahawa tarikh tutup pendaftaran penyertaan juga telah berakhir pada 7 Julai 2010 bagi PERTIS Wilayah dan 9 Julai 2010 bagi PERTIS Pusat.

1.3. Para peserta PERTIS Wilayah boleh “checked in” di asrama ILIM bermula jam 3.00 petang, hari Jumaat, 11 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan 23 Julai 2010. Ambil maklum bahawa format penempatan di asrama ILIM ialah 2 orang bagi 1 bilik dan suami-isteri dikehendaki tinggal secara berasingan. Para peserta turut dilarang merokok di dalam kawasan asrama atau premis ILIM.

1.4. Pengangkutan bagi para peserta PERTIS Pusat disediakan pada hari Sabtu, 12 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan 24 Julai 2010, bermula jam 7.30 pagi bertempat di pekarangan Kompleks MAB, Brickfields iaitu bagi perjalanan berlepas ke ILIM serta bertolak semula ke Kuala Lumpur. Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab kepada mana-mana ahli yang tertinggal atau terlepas bas. Bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pengendalian mesyuarat, hanya peserta berdaftar sahaja dibenarkan hadir. Pihak penganjur juga memohon maaf di atas ketiadaan penginapan kepada para peserta PERTIS Pusat lantaran kemudahan penginapan yang diberi Cuma 200 tempat sahaja. Ambil maklum bahawa tajaan penginapan ini adalah atas ehsan pihak ILIM dan pada masa yang sama ada kursus lain turut berlangsung. Segala kesulitan amatlah dikesali serta dipohonkan ribuan kemaafan.

1.5. Ambil maklum bahawa MAT 15 akan melibatkan pemilihan dan perlantikan semua jawatan dalam PERTIS Malaysia. Borang pencalonan akan mula dibuka pada 3 Rejab 1431 Hijrah bersamaan 16 Jun 2010. Tarikh tutup penyerahan borang pertandingan ialah pada hari Mesyuarat Agung Tahunan berlangsung iaitu sebelum majlis perasmian (9.00 pagi, 12 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan 24 Julai 2010 bertempat di ILIM). Senarai nama calon akan diwar-warkan pada hari mesyuarat itu juga. Borang pencalonan boleh diperolehi daripada Ibu Pejabat PERTIS Malaysia atau Pejabat-pejabat PERTIS Wilayah. Borang pencalonan yang telah lengkap diisi perlu dikembalikan kepada Setiausaha Agung pada tarikh, waktu dan tempat yang telah dinyatakan di atas.


2. PROGRAM REALITI DAKWAH 2010 ANJURAN BIRO PENDIDIKAN DAN DAKWAH PERTIS MALAYSIA DENGAN KERJASAMA MAYBANK ISLAMIC BERHAD

Persatuan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas kehadiran semua ahli ke aktiviti yang berlangsung pada 28 Rejab 1431 Hijrah bersamaan 11 Julai 2010 baru-baru ini. Kehadiran para ahli Persatuan adalah pemangkin ke arah kejayaan dan kelancaran program yang diadakan.


3. MAJLIS BACAAN YASIN DAN TAHLIL SERTA DOA SELAMAT BULANAN ANJURAN BIRO KEBAJIKAN DAN KHIDMAT KOMUNITI PERTIS MALAYSIA

Persatuan melalui Biro tersebut di atas akan mengadakan majlis berkenaan pada hari Khamis, 3 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan 15 Julai 2010, selepas Solat Fardhu Maghrib bertempat di Sura MAB. Penganjuran majlis ini juga adalah sebagai tanda simpati terhadap rakan kita iaitu En. Yusran bin Ahmad, Ahli PERTIS Pusat yang masih dalam tempoh rawatan pembedahan yang dijalani baru-baru ini. Sumbangan berbentuk derma juga dialu-alukan. Penyertan daripada para ahli Persatuan yang mempunyai hajat tertentu atau ingin menyampaikan pahala tahlil kepada arwah yang telah kembali ke Rahmatullah juga sangat-sangatlah dialu-alukan. Bagi maklumat lanjut atau penyaluran sumbangan kepada En,. Yusran, sila berhubung dengan En. Sahmar bin Saat, Pengerusi Biro di talian, 019-6968 618.

No comments:

Post a Comment