ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.

Thursday, July 29, 2010

Pengumuman 26 Julai 2010

Inilah talian maklumat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), membawakan pengumuman bagi minggu yang bermula pada 26 Julai 2010, bersamaan 14 Syaaban 1431 Hijrah.

Bulan Ramadhan Almubarak semakin hampir. Kita harus bersyukur kerana masih dipilih oleh Allah untuk bertemu lagi dengan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Marilah kita membuat apa jua persediaan yang perlu bagi menyambut kehadiran bulan yang mulia ini. Tidak salah jika kita menganggap bahawa ini merupakan pertemuan terakhir kita dengan bulan Ramadhan kali ini.

Berikut adalah pengumuman-pengumuman untuk minggu ini:

1. MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN ORANG CACAT PENGLIHATAN ISLAM MALAYSIA (PERTIS) KALI KELIMABELAS

1.1. Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS Kali Kelimabelas telah berlangsung pada 11 dan 12 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan 23 dan 24 Julai 2010 (Jumaat dan Sabtu) bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. Justeru, seluruh barisan kepimpinan PERTIS Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam penganjuran MAT15 berkenaan terutamanya kepada Urusetia Kerja MAT15. Tidak ketinggalan diucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli PERTIS Malaysia dan Wilayah yang telah menghadiri MAT15 tersebut. Sesungguhnya, kerjasama yang diberikan amatlah memuaskan dan banyak membantu dalam kelancaran perjalanan mesyuarat secara komprehensif. Tahniah kepada sidang mesyuarat kerana mempunyai semangat musyawarah yang tinggi dalam menjayakan mesyuarat kali ini.

1.2. Tahniah juga diucapkan kepada barisan peneraju PERTIS Malaysia yang telah terpilih untuk menganggotai saf kepimpinan Persatuan bagi penggal 2010-11/12. Semoga dengan gabungan tenaga lama dan baru ini mampu memacu Persatuan ke tahap tertinggi serta mengangkat martabat kita agar mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat umum. Berikut disenaraikan nama AJK PERTIS Malaysia beserta Biro masing-masing:-

1.2.1. Cikgu Zakaria bin Yahya – Yang Dipertua PERTIS Merangkap Pengerusi Biro Penerbitan dan Pembangunan ICT PERTIS Malaysia juga Pengerusi Jawatankuasa Keutuhan PERTIS Malaysia. Beliau juga bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Luar PERTIS Malaysia. Menang tanpa bertanding.

1.2.2. Cr. Mohd Hafiz bin Halim – Naib Yang Dipertua PERTIS Merangkap Pengerusi Biro Kewangan dan Ekonomi PERTIS Malaysia. Memperolehi 93 undi.

1.2.3. Encik Abu Hasan Ashari @ Eddysayurawan bin Razak – Setiausaha Agung PERTIS Merangkap Pengerusi Biro Tugas Khas serta Penyelaras Pentadbiran PERTIS Malaysia. Menang tanpa bertanding.

1.2.4. Encik Zamzuri bin Ghani – Bendahari Kehormat PERTIS Merangkap Pengerusi Biro Hal Ehwal Domestik PERTIS Malaysia. Memperolehi 95 undi.

(Keempat-empat mereka akan berkhidmat sehingga tahun 2012).

1.2.5. Encik Sahmar bin Saat – Ahli Jawatankuasa Biasa Pusat PERTIS Malaysia Merangkap Pengerusi Biro Kebajikan dan Khidmat Komuniti PERTIS Malaysia. Memperolehi 65 undi.

1.2.6. Puan Nur Farhana Kannagi Abdullah – Ahli Jawatankuasa Biasa Pusat PERTIS Malaysia Merangkap Pengerusi Biro Pembangunan Wanita dan Kesenian PERTIS Malaysia. Memperolehi 98 undi.

1.2.7. Encik Muhammad Bukhari bin Zakaria – Ahli Jawatankuasa Biasa Pusat PERTIS Malaysia Merangkap Pengerusi Biro Pendidikan dan Dakwah PERTIS Malaysia. Memperolehi 66 undi.

(Ketiga-tiga AJK di atas akan berkhidmat selama setahun iaitu sehingga 2011).

1.2.8. Pemeriksa Kira-kira PERTIS – En. Ahmad Shaha bin Mohd Hanafiah (67 undi) dan Puan Norlita Hanim binti Md Taha (42 undi).

2. MAJLIS DI AMBANG RAMADHAN AL-MUBARAK 1431 HIJRAH

Biro Kebajikan dan Khidmat Komuniti PERTIS Malaysia akan menganjurkan program tersebut di atas pada hari Khamis, 24 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan 5 Ogos 2010, bermula jam 6.30 petang bertempat di Surau MAB. Selain bacaan Yasin dan tahlil, pengisian majlis akan turut dimuatkan dengan tazkirah yang berkisar pada ketibaan bulan Ramadhan Almubarak yang makin hamper di ambang mayapada. Penganjuran majlis ditaja oleh beberapa individu tertentu. Biro masih mengalu-ngalukan sumbangan dan tajaan daripada kalangan ahli atau bukan ahli PERTIS yang mempunyai hajat atau niat tertentu. Bagi maksud sumbangan atau pertanyaan, sila berhubung dengan En. Sahmar bin Saat, Pengerusi Biro di talian, 013-6968 618. Kehadiran semua amatlah dialu-alukan.

3. IKLAN MINGGU INI

Anda masih tercari-cari penapis air untuk kegunaan rumah anda? Anda masih tercari-cari formula bekalan air sihat dan selamat? Ya, dapatkan Bio Energy Life Water System. Peralatan dijamin selamat, mesra alam dan mesra pelanggan. Harga seunit RM800.00, tawaran harga kilang. Jimat dan menguntungkan justeru pembelian produk serupa yang menagih ribuan ringgit Malaysia. Bagi maksud tempahan dan pertanyaan, hubungi Encik Mohammad Zaki bin Mohamed Yusoff di talian, 019-277 3002. Bio Energy Life Water System – Peneraju Keluarga Sihat; Jimat dan Berbaloi-baloi!!

** pengumuman ini dibawa dengan ehsan dan kerjasama daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)


Diselaraskan oleh,

(Zakaria bin Yahya)
Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)

No comments:

Post a Comment