ALAMAT

No. 32A, Tingkat 1,
Jalan Jernai 6/21D, Medan Idaman,
53100 Gombak, Kuala Lumpur.

Sunday, May 23, 2010

Jawatankuasa Pusat PERTIS Tidak Melanggar Perlembagaan Persatuan

Dalam tulisannya melalui blog http://www.anakkampungdelek.blogspot.com semalam, penulis blog berkenaan telah menggambarkan bahawa Jawatankuasa Pusat Persatuan ini (PERTIS) seolah-olah telah melanggar Perlembagaan PERTIS apabila mengadakan mesyuarat agung tahunannya melepasi tarikh 30 Jun.

Memang benar, dalam Perlembagaan PERTIS, tarikh akhir untuk PERTIS mengadakan mesyuarat agung tahunannya ialah pada 30 Jun setiap tahun. Peruntukan ini termaktub pada perkara 7 (5) Perlembagaan PERTIS.

Namun demikian, pihak Jawatankuasa Pusat, setelah berusaha keras, tidak dapat mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya sebelum 30 Jun tahun ini. Ia disebabkan pelbagai halangan yang tidak dapat dielakkan.

Untuk mengatasi masalah di atas, Setiausaha Agung PERTIS, En. Abu Hassan Ashari Razak telah mengadakan perbincangan dengan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan hasilnya, pihak ROS telah bersetuju untuk memberi kebenaran kepada PERTIS untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya melepasi tarikh 30 Jun untuk tahun ini. Susulan daripada itu, pihak PERTIS telah menulis surat kepada ROS untuk mendapatkan kebenaran secara bertulis mengenai hal di atas. Secara lisan, pihak ROS telah bersetuju memberikan kebenaran kepada PERTIS untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya untuk tahun ini melepasi tarikh 30 Jun.

Pengumuman dan notis mesyuarat agung tahunan PERTIS bagi tahun ini akan mula dikeluarkan seawal-awalnya pada minggu yang bertarikh 31 Mei nanti.

Kami memang mengalu-alukan sebarang komen, teguran, kritikan, cadangan atau apa sahaja ulasan yang boleh memajukan lagi persatuan yang masih bertatih ini. Walau bagaimanapun, kami sangat-sangat mengharapkan semoga komen dan tulisan yang hendak disasarkan kepada Persatuan ini hendaklah dilakukan secara lebih bertanggungjawab dan bukan sekadar untuk menggunakan PERTIS sebagai jalan mudah untuk mencari publisiti murah. Kami penuh yakin, penulis blog berkenaan hanya mendengar khabar angin yang tidak rasmi dan tidak pun mengetahui secara terperinci mengenai penangguhan mesyuarat agung tahunan PERTIS untuk tahun ini. Kami juga yakin, sumber penulisan penulis berkenaan sekadar Perlembagaan Persatuan dan juga khabar angin. Menurut Setiausaha Agung, penulis Blog berkenaan juga tidak ada menghubungi beliau (Setiausaha Agung) untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai apa yang ditulis dalam blognya.

Walau bagaimanapun, kami di PERTIS tetap mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada penulis blog berkenaan kerana sikap prihatinnya kepada PERTIS.

No comments:

Post a Comment